Terkini

200,000 tentera Brazil diarah perangi nyamuk yang membawa virus Zika

Brasilia: Pihak berkuasa Brazil mengerahkan lebih 200,000 tentera pergi rumah ke rumah dalam usaha memerangi nyamuk yang membawa virus Zika, punca utama menyebabkan kecacatan teruk pada bayi yang dilahirkan.

200,000 tentera Brazil diarah perangi nyamuk yang bawa virus Zika
Zika dikaitkan dengan kecacatan kelahiran yang teruk, termasuk mikrosefali, keadaan yang menyebabkan kepala bayi yang dilahirkan kecil.

Menteri Kesihatan Marcelo Castro berkata, tentera akan pergi rumah ke rumah di seluruh negara itu untuk mengedarkan risalah dan memberi khidmat nasihat, isyarat peperangan besar-besaran untuk menangani virus berkenaan yang mencetuskan panik di negara itu.

Menurut Castro, kerajaan yang berdepan dengan tekanan untuk menangani krisis itu juga akan mengagihkan ubat menjauhkan nyamuk kepada sekurang-kurangnya 400,000 wanita hamil yang menerima bantuan kebajikan masyarakat.

Zika dikaitkan dengan kecacatan kelahiran yang teruk, termasuk mikrosefali, keadaan yang menyebabkan kepala bayi yang dilahirkan kecil.

200,000 tentera Brazil diarah perangi nyamuk yang membawa virus Zika
SEORANG bayi di Brazil yang menjadi mangsa virus zika 
Peningkatan mendadak kes itu di seluruh Amerika Latin, terutamanya Brazil, mendorong Amerika Syarikat dan negara lain memberi amaran kepada wanita hamil supaya tidak berkunjung ke rantau itu - sesuatu yang membimbangkan ketika Brazil bersiap sedia menganjurkan Sukan Olimpik Ogos ini.

Tidak seperti masalah kesihatan lain yang mencemaskan masyarakat antarabangsa, virus Zika tidak merebak dari manusia ke manusia. Bagi kebanyakan mereka yang dijangkiti, gejala seperti selesema itu hilang dalam masa seminggu.

Namun, ancaman zika tertumpu khusus kepada wanita hamil dan janin mereka. Ketidakmungkinan mengelak gigitan nyamuk di negara tropika menjadikan virus itu amat serius.

Brazil mencatatkan sekurang-kurangnya 3,893 kes mikrosefali sejak ia disedari di bandar di timur laut negara ini pada Oktober lalu.Sebelum ini, purata 160 kes sahaja direkodkan.

Castro berkata minggu lalu, nyamuk Aedes aegypti yang membawa virus zika dan juga demam denggi dan virus chikungunya, semakin menjadi-jadi.-hmetro

No comments