Terkini

Keputusan sudah ada, Menteri Besar Kedah tetap akan diganti dalam masa terdekat

KUALA LUMPUR - Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir tetap akan diganti dalam masa terdekat.

Keputusan sudah ada, Menteri Besar Kedah tetap akan diganti dalam masa terdekat
NAJIB TUN RAZAK menjawab soalan pemberita dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO di Menara Dato' Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di Kuala Lumpur

Ini berikutan perkembangan terbaharu apabila Pengerusi Jemaah Pemangku Sultan Kedah, Tan Sri Tunku Sallehuddin Sultan Badlishah telah memperkenankan nama-nama calon bagi menggantikan Mukhriz yang disampaikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, di Istana Darul Aman Kedah, Bukit Persekutuan, di sini, hari ini.

Dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO di sini, Najib turut menafikan laporan media yang mengatakan nama-nama itu telah ditolak dan menjelaskan segala perkembangan mengenai krisis politik di Kedah akan diberitahu kemudian.

‘‘Nanti saya akan maklumkan. Akan dimaklumkan kemudian itu tidak betul (laporan cadangan nama ditolak,’’ katanya.

Krisis politik di Kedah tercetus apabila Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bakar Bata yang juga Timbalan Pengerusi Perhubungan UMNO Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md. Hanipah bersama kepemimpinan UMNO negeri menyuarakan hilang keyakinan terhadap Mukhriz yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah.

Kedudukan Mukhriz sebagai Menteri Besar semakin jelas akan berakhir apabila hari ini beliau tidak diundang menghadiri mesyuarat MT sekali gus memberi isyarat ADUN Ayer Hitam itu akan digantikan.

Dalam perkembangan berkaitan, Ahmad Bashah terus disebut-sebut sebagai calon utama menggantikan Mukhriz.

Turut disenaraikan ialah ADUN Guar Chempedak, Datuk Dr. Ku Rahman Ku Ismail dan ADUN Ayer Hangat, Datuk Mohd. Rawi Abdul Hamid.

‘‘Keputusan sudah ada. Kita hanya menanti pengumuman sahaja. Insya-Allah dalam masa terdekat siapa yang menggantikan Mukhriz akan diumumkan. Apa yang pasti kedudukan Mukhriz sebagai Menteri Besar tetap diganti,’’ kata satu sumber kepada Utusan Malaysia.

Sumber itu juga menegaskan, ketika ini apa yang diharapkan oleh semua pihak ialah kemelut politik Kedah diselesaikan segera bagi mengelakkan ia berpanjangan.

‘‘Jika semakin lama isu itu dibiarkan berlarutan, ia akan menimbulkan pelbagai fitnah dan spekulasi lain sehinggakan pihak istana pun akan diseret sama oleh pihak-pihak tertentu,’’ kata sumber itu.-utusanonline

No comments