Terkini

Peluncur ski maut bertembung dianggap perkara pelik oleh komuniti sukan itu

FELDBERG: Akhbar Badische Zeitung melaporkan, insiden berlaku di sini, pusat pelancongan di Black Forest, di mana dua lelaki terbabit bertembung ketika berada di cerun pemula ketika menuruni bukit terakhir.

Peluncur ski maut bertembung dianggap perkara pelik oleh komuniti sukan itu
Pasukan Penyelamat Servis Udara Jerman tiba dengan helikopter di lokasi insiden kemalangan maut 
dua peluncur di Black Forest, Baden-Württemberg, Jerman semalam.


Dua peluncur ski maut selepas berlanggar sesama sendiri di pusat pelancongan ski di Baden-Württemberg, Jerman semalam, kejadian yang hampir tidak pernah didengar dalam kalangan komuniti sukan itu sebelum ini.

Ketika kejadian, perkhidmatan lif ski sudah ditutup dan kawasan bukit itu hampir kosong.

"Ia adalah cerun rata, digelar cerun untuk individu baharu belajar. Agak sukar menjelaskan bagaimana nahas ini boleh berlaku," kata Adrian Probst daripada pasukan menyelamat pergunungan tempatan, menurut akhbar Local.

Bagaimanapun, Probst berkata peluncur ski masih boleh mencatat kelajuan hingga 100 kilometer sejam, walaupun di cerun rata.

Akhbar Süddeutsche Zeitung melaporkan, mangsa warga Perancis berusia 29 tahun dari Alsace dan rakyat tempatan dari Stuttgart berusia 30 tahun memakai topi keledar ketika kejadian.

Satu siasatan mengenai punca kemalangan maut itu kini sedang dijalankan. Pasukan penyelamat dilaporkan sudah berada di cerun selepas mangsa bertembung dan segera merawat mangsa. Perkhidmatan kecemasan cuba melakukan bantuan pernafasan selama 45 minit sebelum mengalah. - Agensi/bharian

No comments