Terkini

Gabenor Bank Negara beri amaran, paras rizab Tabung Haji negatif

Paras rizab Lembaga Tabung Haji negatif dan tidak akan dapat membayar 8.8 juta pencarum sebarang dividen tahun ini jika tidak mengambil tindakan menyelesaikan masalah ini, kata Gabenor Bank Negara Malaysia Tan Sri Zeti Akhtar Aziz kepada lembaga itu baru-baru ini.

Gabenor Bank Negara beri amaran, paras rizab Tabung Haji negatif

Dalam surat bertarikh 23 Disember yang dilihat The Malaysian Insider, Zeti memberitahu Pengerusi Lembaga Tabung Haji Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim nilai aset hanya mencukupi untuk membayar tidak lebih daripada 98 sen bagi setiap seringgit nilai liabiliti.

Seksyen 22 Akta Tabung Haji menyatakan Lembaga Tabung Haji tidak boleh mengisytiharkan pengagihan dividen dan bonus kepada pendeposit sekiranya nilai aset kurang daripada nilai kesemua obligasinya.

Dalam satu surat berasingan kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom pada tarikh sama yang turut dilihat The Malaysian Insider, Zeti memberi amaran keadaan kewangan Tabung Haji boleh memberi kesan kewangan kepada kerajaan.

Zeti berkata, ini kerana Putrajaya menjamin sepenuhnya simpanan deposit di Lembaga Tabung Haji.

Beliau memberitahu Jamil disebabkan perkara ini, keberkesanan Lembaga Tabung Haji dalam membantu umat Islam di Malaysia menunaikan ibadah haji mungkin terjejas.

Sementara itu, dalam suratnya kepada Azeez, Zeti berkata Lembaga Tabung Haji mungkin terpaksa melupuskan aset pelaburannya pada skala besar dan masa yang singkat untuk memenuhi tanggungjawab kepada pendeposit.

Beliau berkata, ini akan mengurangkan nilai aset Tabung Haji, dan kestabilan sistem kewangan dan sistem ekonomi negara pada risiko yang lebih tinggi melalui "kesan penularan".

Ini kerana ia akan memberi kesan kerugian nilai pelaburan bagi institusi kewangan dan pelabur lain yang turut terdedah kepada aset terbabit; tekanan kecairan kepada institusi perbankan ekoran pengeluaran deposit Lembaga Tabung Haji dan kesan negatif terhadap sentimen para pelabur, katanya.

Zeti menyalahkan amalan Lembaga Tabung Haji kerana membayar dividen lebih daripada kemampuan kepada pendeposit sejak 2012.

"Amalan pengagihan dividen dan bonus tidak berhemat secara puratanya melebihi keuntungan semasa (purata sebanyak 107% bagi tempoh 2012-2014) menyebabkan paras rizab terkumpul Lembaga Tabung Haji yang sememangnya rendah untuk terus merosot, sehingga tidak mencukupi untuk menangani prestasi lemah portfolio ekuiti yang lemah pada 2015.

"Ini seterusnya menyebabkan rizab Lembaga Tabung Haji menjadi negatif," kata Zeti dalam surat itu.

Menurut Zeti, satu lagi masalah ialah deposit Tabung Haji tertumpu di kalangan sebilangan kecil penyumbang – 5% pendeposit terbesar merangkumi kira-kira 75% jumlah keseluruhan pendeposit.

Zeti berkata, ini akan menyebabkan risiko pengeluaran deposit secara besar-besaran, sekiranya pendeposit hilang kepercayaan terhadap Tabung Haji.

Beliau mencadangkan Lembaga Tabung Haji agar segera merangka dasar rizab dan pelan pelaksanaan yang sudah diluluskan Lembaga Pengarah kepada Bank Negara pada 31 Mac 2016.

Selain itu, mencadangkan kepada Jamil untuk menambah bilangan ahli Lembaga Pengarah yang mempunyai pengalaman dan kepakaran luas dalam bidang kewangan.

Jamil tidak dapat dihubungi untuk mendapatkan komen dan tidak menjawab kiriman teks daripada The Malaysian Insider.

Azeez memberitahu The Malaysian Insider beliau perlu menyemak dengan pejabat Lembaga Tabung Haji esok sama ada surat itu benar.

Tetapi beliau menegaskan Lembaga Tabung Haji tidak mempunyai masalah untuk membayar dividen tahun ini, dan pendeposit perlu menunggu selewat-lewatnya pada Mac untuk pengumuman.

Sementara dalam kenyataannya malam tadi, Lembaga Tabung Haji mengatakan mereka perlu memastikan semua proses audit awal dilaksanakan terlebih dahulu serta mendapat kelulusan dalaman sebelum mengumumkan dividen atau bonus kepada pendepositnya.

“Lembaga Tabung Haji meminta orang ramai tidak membuat spekulasi tarikh pengumuman bonus pendepositnya bagi 2015.”

Bahagian hal ehwal awam dan komunikasi korporat Lembaga Tabung Haji dalam kenyataan menerusi laman Facebooknya berkata, pada kelazimannya bonus akan diumumkan kepada pendeposit pada suku pertama (Januari-Mac) tahun semasa.

Kenyataan itu menyebut Lembaga Tabung Haji pernah mengumumkan bonus pendeposit pada hujung Februari dan awal Mac sebelum ini.

Sementara itu, bahagian hal ehwal awam dan komunikasi korporat Lembaga Tabung Haji masih belum membalas e-mel The Malaysian Insider untuk mendapatkan pengesahan berkenaan kebenaran surat itu.

Bagaimanapun blog yang tidak diketahui pemiliknya memuat naik surat sama hari ini.

Penulis blog Syed Akbar Ali turut memuat naik semula surat itu.

Tahun lalu, Lembaga Tabung Haji mencetuskan kontroversi apabila membeli tanah 0.64 ha di Tun Razak Exchange (TRX) berharga RM188 juta daripada 1Malaysia Development (1MDB) untuk membangunkan sebuah menara kediaman.

Lembaga Tabung Haji membayar 43 kali ganda lebih tinggi daripada yang dibeli 1MDB daripada Putrajaya 5 tahun lalu.

Disebabkan tekanan orang ramai, Lembaga Tabung Haji pada Mei berikrar untuk menjual tanah itu akan tetapi sehingga kini, tidak ada apa-apa berita mengenainya.

No comments