Terkini

Awas peniaga online, SSM mengenal pasti pemilik peniagaan dalam talian

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) akan menjalankan operasi pemeriksaan terhadap peniaga-peniaga dalam talian atau online bagi memastikan kesemua pemilik perniagaan tersebut mendaftar secara sah.

Awas peniaga online, SSM mengenal pasti pemilik peniagaan dalam talian

Ketua Pegawai Eksekutif SSM, Datuk Zahrah Abd. Wahab Fenner berkata, pihaknya ketika ini sedang mengumpul pelbagai maklumat mengenai syarikat-syarikat perniagaan online menerusi satu unit khas pemeriksaan yang telah ditubuhkan.

“Memang terdapat dalam perancangan SSM untuk me­ngawal perniagaan online pada tahun ini.

“Satu unit khas akan mengumpul dan memantau maklumat menerusi internet, media sosial, surat khabar dan juga aduan-aduan daripada orang ramai.

“Kami juga akan bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Kementerian Perdagangan, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) serta persatuan-persatuan perniagaan online untuk me­ngenal pasti pemilik-pemilik perniagaan ini,” kata Zahrah.

Beliau berkata demikian selepas menyer­tai Operasi Peme­riksaan Fizikal ke atas lebih 100 buah premis syarikat dan perniagaan di pusat beli-belah Nu Sentral dan KL Sentral di sini baru-baru ini bersama-sama pegawai-pegawainya.

Menurut Zahrah, pemilik perniagaan online yang gagal mendaftar secara sah boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 di bawah Akta Syarikat 1965.

“Sebenarnya ramai peniaga online tidak tahu dan tidak sedar bahawa mereka juga perlu mendaftar dengan SSM. Ini kerana mereka tidak mempunyai maklumat dan pengetahuan tentang perkara ini.

“Bagaimanapun, sejak ke­belakangan ini wujud kesedaran dalam kalangan mereka apabila jumlah peniaga online yang berdaftar dengan SSM sudah mula meningkat kepada lebih 6,000 pada 2015,” ujarnya lagi.-kosmo online



No comments