Terkini

Bajet 2016:4 program biasiswa JPA dikekalkan dan tambahan dana PTPTN

Putrajaya akan meneruskan 4 program tajaan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) walaupun pengubahsuaian Bajet 2016 dilaksanakan, kata Datuk Seri Najib Razak.


Perdana menteri itu berkata, peruntukan tambahan pembiayaan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) sebanyak RM5 bilion juga akan disalurkan kepada mahasiswa.

Najib berkata, ia meliputi Program Biasiswa Nasional bagi 20 orang pelajar terbaik lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk melanjutkan pengajian di universiti terkemuka dunia.

Selain itu, adalah Program Khas Kejuruteraan bagi 200 pelajar ke Jepun, Korea, Jerman dan Perancis.

Najib turut berkata, Program Lepasan Bursary bagi 744 pelajar bagi mengikuti pengajian di peringkat ijazah pertama di universiti awam dan institusi pengajian tinggi swasta di dalam negara.

Beliau berkata, ia juga meliputi pengambilan baharu 8,000 pelajar yang akan diberikan biasiswa mengikut pengajian ditetapkan di peringkat ijazah pertama di dalam negara.

"Selanjutnya, bagi memastikan pelaburan modal insan terus dipergiat, Program MyBrain15, Skim Latihan Akademik Bumiputera, dan Skim Latihan Akademik IPTA akan diteruskan," kata Najib, ketika membentangkan pengubahsuaian Bajet 2016 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Putrajaya, hari ini.

Beliau berkata, sekarang ini, 25,000 pelajar mengikuti pengajian di bawah program tersebut.

"Makanya, sebagai tambahan, saya mahu menyatakan kerajaan bersetuju dengan tambahan 15,000 pelajar baharu bagi program MyMaster, 5,000 untuk program MyPhD, dan 300 bagi Skim Latihan Akademik IPTA, akan diberikan tawaran.”-malaysianinsider

No comments