Terkini

Bomoh mengaku "Agong Nusantara" anugerah pelbagai darjah dan pingat

Mungkin pelik, mungkin aneh atau katalah apa sahaja tetapi inilah hakikatnya apabila seorang lelaki yang asalnya hanya seorang pengamal perubatan tradisional boleh mengisytiharkan dirinya sebagai 'Duli Yang Mulia Sri Sultan Notobroto Nusantara 1’.

Bomoh mengaku  "Agong Nusantara" anugerah pelbagai darjah dan pingat
Sebuah majlis penganugerahan oleh ‘Sultan Notobroto Nusantara.’ — Foto ehsan Facebook/Sultan 

Lebih menarik, dia juga dikatakan diangkat sebagai 'Agong Nusantara’ oleh sultan-sultan di Indonesia. Kedudukan itu membolehkan lelaki tersebut menganugerahkan pelbagai darjah dan pingat termasuk membawa gelaran 'Datuk’ dan 'Datuk Seri’.

Seorang individu rakyat Malaysia mendakwa dirinya sebagai 'Agong Nusantara' telah menyampaikan anugerah pingat dan darjah kebesaran kepada beratus-ratus rakyat negara ini di Indonesia.

Situasi ini mungkin dilihat aneh dan melucukan, tetapi itulah yang dilakukan seorang individu yang suatu ketika dahulu hanya seorang pengamal perubatan tradi­sional dan secara tiba-tiba muncul menggelarkan dirinya sebagai 'Duli Yang Maha Mulia Sri Sultan Notobroto Nusantara manakala isterinya pula, Kanjeng Sri Ratu Notobroto.

Gelaran itu dikatakan digunakan sejak 2011 yang mendapat kecaman pelbagai pihak dalam laman-laman sosial. Apa yang mengejutkan, satu sumber mendakwa, lelaki tersebut kononnya telah disepakati secara bersama bertaraf 'Yang Dipertuan Agong dari Indonesia' oleh sultan-sultan di negara itu dan berasal daripada keturunan Sultan Demak.

Siasatan Mingguan Malaysia mendapati sejak 2012, lelaki yang berasal dari Johor itu telah mengurniakan pingat dan darjah kebesaran yang membawa pelbagai gelaran termasuklah 'Datuk' dan 'Datuk Seri' kepada beratus-ratus individu dari Malaysia.

Selain itu, 'Sri Sultan Notobroto' juga menganugerahkan darjah yang membawa gelaran 'Raden Kajeng' kepada beberapa individu khusus­nya orang kenamaan. Satu sumber mendakwa, lelaki tersebut yang kini menetap di sebuah negeri di selatan tanah air, dijadualkan menyampaikan pingat yang membawa gelaran 'Datuk' kepada enam individu pada Mac ini di Indonesia.

Sambil mendakwa segalanya boleh diuruskan, sumber itu berkata, 'Sri Sultan Notobroto' akan mengurniakan darjah tersebut dengan bayaran tertentu mengikut darjah atau pingat yang dianugerahkan.

Beliau yang ditemui di lokasi yang dirahsiakan berkata, terdapat tiga pingat dianugerahkan oleh lelaki tersebut yang majlisnya diadakan di Indonesia.

"Untuk pingat membawa gelaran Datuk harganya kira-kira RM35,000, Dato' (RM45,000) manakala Dato' Sri RM95,000 hingga RM100,000. Semua bayaran itu merangkumi segala kemudahan dan kelengkapan termasuk pengangkutan dan pakaian bagi menghadiri majlis penganugerahan," dakwa sumber tersebut.

Sumber itu mendakwa, kebia­saannya majlis penganugerahan akan diadakan dua tahun sekali iaitu pada Februari dan Oktober.

"Penerima harus membayar separuh daripada keseluruhan bayaran bagi urusan 'dokumentasi' manakala bayaran penuh dilakukan sekurang-kurangnya seminggu sebelum penyampaian pingat dibuat," dakwanya. Menjawab satu soalan, sumber tersebut mendakwa, penganugerahan pingat oleh 'Sri Sultan Notobroto Nusantara' itu mempunyai watikah rasmi dan pingat. ''Segala-galanya lengkap.

Semuanya direkodkan di dalam sebuah buku, yang paling ramai menerima anugerah daripada 'Sri Sultan' ialah ahli-ahli perniagaan. Mereka begitu inginkan gelaran 'Datuk' atau 'Datuk Seri' bagi meningkatkan imej masing-masing,'' katanya. -UTUSANONLINE

No comments