Terkini

Shah Iskandar : inai masih merah di jari, dah timbul macam-macam cerita

Rasanya inai merah di jari pengantin baru, Shah Iskandar dan pasangannya Siti Sarah belum lagi luntur. Tapi belum sempat mengecap kemanisan berumah tangga, sudah ada cerita kurang manis terkait mengenai pasangan itu.

Shah Iskandar : inai masih merah di jari, dah timbul macam-macam cerita

Baru-baru ini, teman Cik Pang dikenali Datin W mengadu mengenai seorang pengasas produk kecantikan didakwa belum melangsaikan hutang bernilai jutaan ringgit kepada beberapa peminjam, termasuk dirinya.

Individu itu dipercayai menipu ramai pihak untuk mendapatkan duit bagi memulakan bisnes produk kecantikan dengan pelbagai janji manis.

Kata Datin W, nama Sarah turut ‘naik’ sebab dia antara pengarah urusan syarikat itu yang bertanggungjawab menandatangani surat perjanjian berkaitan pinjaman wang sebelum ini.

Pada masa sama, individu itu dikatakan menipu banyak pihak menggunakan gelaran kerabat yang entah dari mana munculnya.

Dedah Datin W lagi, pada hari pernikahan Shah dan Sarah, pengasas produk didakwa direman selama seminggu bagi membantu siasatan mengenai penipuan gelaran diraja yang digunakan.

Katanya, pada hari bahagia Shah dan Sarah, tiada kelibat pengasas kecantikan itu pada foto kahwin mereka walaupun hakikatnya dia antara insan terpenting dalam keluarga baru Shah.

Lebih kasihan, antara yang kena kencing si pengasas kecantikan itu ialah kawan Shah Iskandar juga dan si pelakon itu tahu mengenai hal terbabit, namun seolah-olah tidak mahu membantu.

Sudah macam-macam cara Datin W dan rakan-rakannya cuba mendapatkan semula wang mereka, namun si penipu itu muka tebal.

Malah pernah berlaku pergelutan kecil sehingga menyebabkan seorang mangsa penipuan cedera ketika cuba menuntut duitnya. Dengar cerita, beberapa selebriti popular pun pernah dan hampir kena tipu.

Cik Pang tidak mahu menuduh hanya berdasarkan dakwaan sebelah pihak tetapi percaya manusia seperti ini memang ada. Cik Pang juga percaya manusia jenis ini tidak akan hidup tenang selagi skandal penipuannya tidak didedahkan dan dibawa ke muka pengadilan.

Nasihat Cik Pang, hati-hatilah apabila berurusan dengan mereka yang menabur janji manis. Janganlah cepat terjebak kerana manusia seperti ini wujud di mana-mana.

www.hmetro.com.my

No comments