Terkini

Pesawat Turki terpaksa ubah haluan ke Ireland selepas menerima ancaman bom.

SHANNON: Sebuah pesawat penumpang Turki terpaksa mengubah haluan ke Ireland ketika terbang di Lautan Atlantik selepas menerima ancaman bom.

Pesawat Turki terpaksa ubah haluan ke Ireland selepas menerima ancaman bom
Pesawat Turki terpaksa ubah haluan ke Ireland selepas menerima ancaman bom

Pesawat itu mendarat di lapangan terbang di sini pada jam 11.20 pagi selepas satu nota mengandungi ancaman bom ditemui. Pesawat Turkish Airlines TK-34 itu berlepas dari Houston, Texas, jam 9.07 malam waktu tempatan Sabtu dan dijangka tiba di Istanbul kira-kira jam 3.45 petang.

Ada 227 penumpang dan kru dalam pesawat Boeng 777-300 itu. Ketika pesawat terbabit masih dua jam perjalanan sebelum tiba di ruang udara di pantai barat daya Ireland, satu pelan kecemasan dilaksanakan di lapangan terbang di sini.

Unit jentera bomba dari bandar ini dan Ennis dikerahkan bagi membantu bomba lapangan terbang. Ambulans dari Ennis dan Limerick dikerah bersama polis nasional Ireland, Garda.

Pengawal pantai Ireland turut dimaklumkan dan satu bot penyelamat diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga sehingga pesawat selamat melintasi kawasan pesisir itu.

Sejurus mendarat, pesawat dibawa ke laluan berasingan dan penumpang dibawa ke terminal menaiki bas. Pesawat itu akan kekal di lokasi sehingga jadual penerbangannya tamat.

Pihak berkuasa melakukan pemeriksaan untuk mencari bahan letupan. Polis Ireland mengambil nota ancaman bom itu sebagai bahan bukti. Tulisan tangan pada nota berkenaan akan dibandingkan dengan sampel yang diambil daripada penumpang. - Agensi

No comments