Terkini

Ancaman Virus Zika : wanita mengandung tidak digalakkan ke negara berkenaan

Putrajaya: Bagi mengelak penularan jangkitan virus Zika, semua pelawat dari benua Amerika Selatan, Amerika Tengah dan rakyat Malaysia yang pulang dari benua berkenaan serta mempunyai gejala demam dan bintik-bintik dikehendaki melaporkan diri ke Pusat Kuarantin Kesihatan atau Pejabat Kesihatan berhampiran sebaik tiba di negara ini.

Ancaman Virus Zika : wanita mengandung tidak digalakan melawat negara berkenaan

Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Umum) Datuk Dr Lokman Hakim Sulaiman berkata, wanita mengandung dari negara ini juga dinasihatkan supaya tidak melawat negara berkenaan.

Katanya, selain itu, kementerian juga akan akan mengedarkan nasihat kesihatan kepada pelancong dan rakyat Malaysia berkenaan langkah yang perlu diambil jika gejala berkenaan berlaku, selain dikehendaki terus ke klinik kesihatan berhampiran.

"Rakyat Malaysia lain yang ke negara berkenaan hendaklah mengambil langkah pencegahan dari digigit oleh nyamuk Aedes seperti tidak berada di luar ketika waktu puncak gigitan Aedes di awal pagi dan lewat petang, memakai pakaian menutupi anggota badan dan menggunakan ubat pencegahan gigitan (repelen) secara tetap.

"Kementerian juga akan mengeluarkan amaran kesihatan (health alert) kepada semua fasiliti kesihatan kerajaan dan swasta, selain meningkatkan pemantauan di klinik dan hospital bagi kes yang mempunyai tanda Zika dan mempunyai sejarah perjalanan ke 22 buah negara yang melaporkan jangkitan virus Zika,"katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Negara yang dilaporkan mempunyai kes Zika dari rantau Amerika Latin adalah Barbados, Bolivia, Brazil, Colombia, Republik Dominika, Ecuador, El Salvador, French Guiana, Guadeloupe, Guatemala, Guyana, Honduras, Martinique, Mexico, Panama, Paraguay, Puerto Rico, Saint Martin, Suriname, US Virgin Islands, Venezuela dan Samoa.

Dr Lokman Hakim berkata, kementerian turut meningkatkan pemantauan terhadap kes 'microcephaly' iaitu kelahiran bayi dengan kepala atau otak mengecil yang dikaitkan dengan gejala saraf iaitu sindrom 'Guillain-Barre.-hmetro

No comments