Terkini

Penemuan kubur "misteri" di luar pagar tanah perkuburan gemparkan penduduk

BERA - Penduduk Felda Kumai di sini sekali lagi gempar apabila sebuah kubur misteri ditemui di luar pagar konkrit Tanah Perkuburan Islam Felda Kumai selepas mereka dikejutkan dengan kejadian kecurian batu nisan di tanah perkuburan sama dua tahun lalu.


Pada mulanya, penduduk menyangka kubur ditanda dengan nisan kayu berukir seperti diletakkan pada kubur wanita dan diikat dengan plastik putih itu terdapat seorang bayi.

Sebaik tersebarnya berita itu, pekarangan tanah perkuburan dipenuhi orang ramai yang mahu melihat tujuh anggota dan pegawai dari Balai Polis Bandar 32 dan Ibu Pejabat Polis Daerah Bera melakukan siasatan di situ.

Bagaimanapun tanda tanya penduduk akhirnya terjawab apabila siasatan dan proses penggalian dilakukan mendapati kubur berkenaan hanya mengandungi bangkai seekor kucing hutan.

Ketua Peneroka Felda Kumai, Basri Husin berkata, kubur kecil berkenaan ditemui seorang penduduk kampung yang terlibat dalam aktiviti gotong-royong Sabtu lalu.

Menurutnya, gelisah dengan penemuan itu, dia dan penduduk kampung sepakat untuk melaporkannya kepada polis.

“Pada mulanya seorang penduduk beritahu mengenai kubur itu yang ada kayu nisan diikat dengan plastik putih. Terdapat ulat keluar dari lubang kubur terbabit.

“Jadi kami hari ini (semalam) sepakat untuk buat laporan polis kerana bimbang ada unsur jenayah, apatah lagi sebelum ini kawasan kubur ini pernah diceroboh,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Tanah Perkuburan Islam Felda Kumai di sini semalam.

Sementara itu, Abdullah Ismail, 61, berkata, selepas kubur itu ditemui, dia dan beberapa penduduk cuba menyiasat serta merungkai misteri berkenaan.

“Saya ada berjumpa dengan dua penduduk yang baru-baru ini dipotong kaki kerana penyakit kencing manis dan mereka memaklumkan kubur berkenaan bukan milik mereka kerana masing-masing menanam mengikut cara yang betul,” katanya.

Paniman Samil, 56, pula berkata, dia kesal dengan kejadian tersebut yang menimbulkan keresahan dalam kalangan penduduk dan menyusahkan mereka.

Katanya, pemuda yang menanam kucing hutan berkenaan kebetulan melalui kawasan terbabit dan memaklumkan tindakannya kepada penduduk kampung.

“Dia beritahu dia tanam kucing hutan itu yang mati dipukulnya baru-baru ini tetapi menafikan memacak kayu nisan di situ,” katanya.

Difahamkan, pemuda yang mengaku menanam kucing hutan di kawasan itu telah diminta membuat laporan polis.





sumber-sinarharian

No comments