Terkini

Walau disorok, SPRM berjaya kesan wang rasuah bauksit guna alat pengesan

Hasil kecekapan pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) itu berjaya membongkar kerja tidak bermoral disebalik isu kontroversi perlombongan hasil bumi berkenaan.

Walau disorok, SPRM berjaya kesan wang rasuah bauksit guna alat pengesan
Empat pegawai PTG Pahang yang ditahan reman berkenaan isu rasuah bauksit di Kuantan.foto Malaysia Gazette.

Wang tunai yang disorok di dalam mesin basuh oleh seorang pegawai Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Pahang berjaya dikesan menggunakan peralatan pengesan duit.

Sumber berkata, suspek dipercayai menyorok timbunan wang tunai dipercayai hasil rasuah itu bersama lapisan plastik lampin bayi.

Kakitangan awam itu salah seorang empat suspek yang juga pegawai PTG yang ditahan ekoran kes rasuah 'melindungi' pengusaha bauksit haram di sekitar Kuantan. Kesemua mereka direman seminggu bagi siasatan lanjut dan SPRM akan melanjutkan tahanan sekiranya perlu.

Tindakan pantas penguat kuasa SPRM dari Putrajaya itu juga mendapat pujian daripada ahli politik termasuk pembangkang seperti Ahli Parlimen Subang, R. Sivarasa yang juga seorang peguam.

Ia menjadi 'petunjuk' awal kepada lebih banyak pesalah rasuah termasuk orang awam yang menjadi orang tengah antara pihak berkuasa dan pengusaha bauksit akan diseret ke muka pengadilan.

Semalam, Pengarah Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Azam Baki tidak menolak kemungkinan ada lagi tangkapan pihaknya melibatkan kes yang sama.

"Selama dua bulan setengah penguat kuasa SPRM menjalankan penyiasatan dalam kes ini dan siasatan dibuat kerana isu bauksit itu sudah menjadi isu negara," ujarnya.

Beliau juga mengakui kekurangan maklumat daripada orang awam dalam penyiasatan kes berkenaan sebelum ini kerana kebanyakan laporan hanya berkaitan pencemaran alam sekitar.

Azam dalam masa yang sama juga mengucapkan terima kasih kepada Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman kerana memberi kepercayaan kepada SPRM menyiasat kes simpanan bauksit di negeri berkenaan baru-baru ini dan berjanji akan menyiasatnya.

Respon kepada isu yang sama, Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah semalam mahu kerajaan pusat dan negeri mencari satu penyelesaian holistik berhubung aktiviti perlombongan bauksit dan bahan mineral lain di negeri itu.

Baginda bertitah tempoh moratorium selama tiga bulan ke atas semua aktiviti perlombongan bauksit di Pahang bermula 15 Januari ini perlu digunakan sebaiknya untuk mencari kelemahan prosedur dalam pelaksanaan aktiviti tersebut sehingga mengakibatkan berlaku pencemaran serius.

Dalam pada itu, SPRM juga mendedahkan aktiviti perlombongan hasil bumi itu berlaku ketirisan perlu dipandang serius malah menganggap hasil royalti perlombongan bauksit sebenarnya jauh lebih tinggi daripada RM47 juta yang dikutip sepanjang tahun lepas.

Kerajaan negeri dan kementerian terlibat jangan pandang sebelah mata kerana rasuah barah bukan sahaja merosakkan negara tetapi juga peradaban -- MalaysiaGazette

No comments