Terkini

Lepas terjatuh Amy terus naik ke pentas dan sampaikan lagi empat lagu

KUALA LUMPUR: Memilih untuk meneruskan persembahan walaupun dalam keadaan sakit akibat jatuh pentas, Amy Search, harus diberikan pujian.

Lepas terjatuh Amy terus naik ke pentas dan sampaikan lagi empat lagu

Amy atau nama sebenarnya Suhaimi Abdul Rahman, 58, berkata ketika kejadian dia yang sedang menjayakan majlis makan malam korporat di ibu kota ingin bersalaman dengan peminat yang berada di barisan depan.

Begitupun, katanya, sinaran lampu dan struktur pentas mengelirukan antara punca menyebabkannya terjatuh dari pentas setinggi empat kaki.

Video dia terjatuh dari pentas mula tersebar di internet sejak semalam. "Kesakitan memang dirasakan kerana saya jatuh dengan menghempap tangan dan beban seluruh badan terasa pada bahu.

Saya duduk berehat seketika kerana sakit, namun kembali meneruskan persembahan menyanyikan empat lagu yang berbaki selepas insiden itu.

"Walaupun tangan berdenyut-denyut ketika itu, saya tetap ingin meneruskan persembahan kerana ia adalah amanah dan tanggungjawab yang perlu dilaksanakan.

"Selepas selesainya majlis menyambut menantu ini, saya akan ke klinik untuk membuat pemeriksaan lanjut kerana ibu jari saya bengkak akibat insiden terbabit dan bahu saya juga masih terasa sakit," katanya kepada BH Online, malam tadi.

Mengikut Amy, dia terpaksa menggagahkan diri bagi memastikan majlis menyambut menantu yang diadakan di rumahnya, sehari selepas insiden terjatuh dari pentas itu, berjalan dengan baik.


Amy sebelum itu dibawa ke klinik dan diberikan ubat tahan sakit serta suntikan bagi memberikan tenaga selepas mengadu sakit pada pagi Sabtu.

Walaupun menahan kesakitan, keceriaan jelas terpancar pada wajahnya sambil bercerita mengenai kelancaran majlis perkahwinan kedua Nabila dan mendoakan yang terbaik buat anak sulungnya itu.

"Kebahagiaan itu datang dengan dugaan. Diharap Abil (panggilannya untuk Nabila) dapat menjalani fasa kehidupan sebagai isteri dengan sempurna dan menghadapi dugaan berkahwin dengan penuh sabar.

"Sebagai bapa, saya mendoakan yang terbaik buat mereka berdua. Layarilah bahtera perkahwinan sebaik mungkin dan sifat tolak ansur perlu sentiasa dijadikan pegangan," kata Amy mengakhiri bicara.





sumber-bharian

No comments