Terkini

Orang sebelah berdengkur anda mesti rimas, kini ada penyelesaiannya

MEMILIKI pasangan yang tidur berdengkur setiap malam sudah tentu merunsingkan fikiran. Bunyi dengkuran yang kuat akan membuatkan sesiapa sahaja terjaga daripada tidur dan sukar mendapat tidur yang lena dan berkualiti.


Bunyi dengkuran terjadi apabila otot-otot di bahagian leher seseorang berada dalam keadaan rehat selepas seharian digunakan dan kemudiannya bergetar sewaktu seseorang itu bernafas kerana ia menghalang aliran udara daripada hidung ke bahagian tekak dan menghasilkan getaran yang berbunyi.

Antara kaedah paling popular yang dilakukan untuk menghalang bunyi dengkuran semasa tidur adalah dengan meletakkan sejenis pelekat bersilang di atas hidung. Namun sesetengah pengguna mendakwa, alat tersebut tidak berkesan seperti dakwaan dalam iklan.

Selain itu, ada juga yang mengamalkan tidur dalam posisi meniarap kerana posisi itu tidak menghalang aliran udara dan bunyi dengkur tidak akan terjadi.

Setakat ini, tiada satu ubat mahu pun alat yang betul-betul boleh mengubati masalah dengkur dengan berkesan terutamanya untuk jangka panjang. Begitupun, baru-baru ini, sekumpulan pakar teknologi dari Amerika Syarikat telah memperke­nalkan satu sistem bantal pintar yang diberi nama ‘Nora.’

Nora merupakan gabungan dua alat yang berhubung antara satu sama lain dalam menghentikan dengkuran. Ia terdiri daripada satu gajet nipis berwarna putih yang diletakkan di bawah bantal ketika tidur manakala satu lagi merupakan sebuah alat kecil berbentuk seperti tetikus komputer untuk diletakkan di sebelah katil.

Alat pertama yang nipis itu berbentuk seperti cebisan kain putih yang diletakkan di bawah bantal orang yang sedang tidur. Ia akan berhubung terus dengan alat kedua.

Di dalam tetikus itu terdapat sebuah mikrofon kecil yang berfungsi mengesan bunyi dengkuran apabila otot berada dalam keadaan rehat ketika tidur.

Sebaik sahaja mikrofon mengesan dengkuran, ia kemudiannya akan menghantar signal kepada alat yang diletakkan di bawah bantal tadi. Alat itu seterusnya akan bergerak secara perlahan-lahan dari bawah bantal dan mengubah posisi kepala orang yang sedang tidur untuk menge­lakkan otot berada dalam keadaan berehat dan mengeluarkan bunyi.

Menurut pengasas Smart Nora Inc., Behrouz Hariri, idea untuk mencipta gajet canggih itu datang selepas dia melihat ayahnya yang sering berdengkur.




dipetik dari-kosmo.com.my

No comments